Guru Juara Digital MDEC guna TikTok dalam PdPR
Astro Awani
Februari 10, 2021 14:12 MYT
Februari 10, 2021 14:12 MYT
KUALA LUMPUR: Sesi persekolahan tahun ini boleh dianggap sebagai ‘episod kedua’ bagi para pelajar di seluruh negara terlibat dengan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berikut ancaman pandemik COVID-19 yang masih berlarutan sehingga kerajaan kembali menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sebahagian besar struktur PdPR melibatkan pembelajaran secara dalam talian.
Lebih sebulan perlaksanaannya, pelbagai kisah tular mengenai pengalaman guru, para pelajar dan ibu-bapa tentang amalan norma baharu ini.
Tidak kurang ramai yang mengeluh kerana jumlah ‘kehadiran’ kurang memberangsangkan manakala terdapat juga ibu-bapa sering ‘memantau’ ketika guru melaksanakan tugas.
Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dalam kenyataan memberitahu, dalam menjadikan guru tempatan lebih kreatif dan peka terhadap teknologi digital pihaknya membuat persiapan awal untuk membantu golongan itu.
Katanya, melalui program #CikguJuaraDigital, MDEC mencari guru yang boleh menjadi penanda aras berkaitan dengan teknologi pendidikan di Malaysia.
Salah seorang peserta, Norhailmi Abdul Mutalib, 40, berkata, selepas program itu, beliau menyertai pula bengkel TikTok anjuran MDEC dan mendapati penggunaan aplikasi itu berpotensi besar untuk membantu dalam proses pembelajaran.
“Selepas itu, saya mula menghasilkan akaun TikTok pada Oktober lalu dengan memuat naik kandungan video tentang nota subjek Sains.
"Ada ketikanya, saya turut merakamkan eksperimen ringkas untuk memudahkan pelajar memahami topik yang sedang dibincangkan,” katanya baru-baru ini.
Guru Sains Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Jerlun, Kedah itu berkata, kaedah berkenaan sangat membantu kerana kandungan video berdurasi lebih pendek.
“Ini sekaligus menjimatkan kuota internet para pelajar berbanding mengikut tele-pembelajaran yang mengambil masa lebih lama dan menyebabkan penggunaan data yang lebih tinggi.
"Bukan semua pelajar saya melanggan pelan internet secara bulanan kerana ada yang membeli data berdasarkan pakej harian,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi guru, Ahmad Adham Berhaumidin turut berkongsi pengalaman menggunakan aplikasi media sosial dalam PdPR untuk memudahkan para pelajarnya.
Guru Matematik Tambahan di Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang Selangor berkata, menerusi pengintegrasian maklumat yang dikongsi MDEC, telah membuka ruang untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan teknologi komunikasi maklumat (ICT) dalam kalangan guru.
"Ini dapat meningkatkan kecekapan PdPR. Saya tidak bergantung kepada satu jenis media sosial sahaja sebaliknya lebih pelbagai menerusi penggunaan Facebook, YouTube, blog dan juga Twitter,” katanya.
Ujar Ahmad Adham, akaun YouTubenya iaitu dehewaraspak kini telah diikuti hampir 1,500 pelayar yang berminat untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang penyelesaian masalah dalam subjek Matematik Tambahan.
“Saya turut menyediakan soalan -soalan contoh Matematik dan menyediakan slot sembang santai bersama para pelajar untuk memastikan mereka mempunyai ruang untuk bertanya secara dalam talian,” katanya.
Bagi Naib Presiden Bahagian Kemahiran Digital dan Kerjaya Digital MDEC, Dr Sumitra Nair, kumpulan guru yang dilatih MDEC mempunyai daya tahan, kreatif dan peka teknologi untuk memastikan para pelajar mereka tidak tertinggal di sebabkan situasi luar jangka yang sedang dihadapi ketika ini.
"Kumpulan Cikgu Juara Digital yang dilatih MDEC tidak menjadikan wabak COVID-19 sebagai halangan untuk mereka terus mendidik. Mereka juga tidak buntu terhadap teknologi sebaliknya mereka terus belajar, memimpin dan berkongsi amalan terbaik dan bersama -sama mengharungi detik sukar bersama para pelajar.
"Guru-guru ini menjadi inspirasi bagi mereka yang bercita-cita untuk menyumbang lebih banyak terutamanya pada masa sukar ini," katanya.
#MDEC
#Cikgu
#belajar di rumah
#sekolah
#Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah
#PdPR
#COVID-19
#PKP
#pelajar
#Guru Juara Digital