Guru hisap vape depan pelajar berdepan tindakan - Fadhlina
Sinar Harian
September 26, 2023 19:53 MYT
September 26, 2023 19:53 MYT
SHAH ALAM: Guru yang didapati menghisap vape atau peranti rokok elektronik di hadapan pelajar akan dikenakan tindakan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementerian akan mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat aduan tentang salah laku berkenaan.
“Saya fikir kalau adanya dakwaan (perkara) itu berlaku, kita ada prosesnya dan ia mesti melalui aduan.
“Kita boleh ambil tindakan sekiranya didapati ia akan memberikan kesan yang buruk kepada ekosistem di sekolah,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohd Hisamudin Yahaya yang bangun mencelah ketika sesi penggulungan perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Negara pada Selasa.
Mohd Hisamudin bertanyakan tindakan Kementerian Pendidikan terhadap guru yang merokok di hadapan pelajar, sedangkan tumpuan kementerian ketika ini adalah kempen larangan menghisap vape dalam kalangan pelajar.
Berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 5/1997:Sekolah Sebagai Kawasan Larangan Merokok, ketetapan telah dibuat untuk menjadikan bangunan dan kawasan sekolah sebagai kawasan larangan merokok mengikut peruntukan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau, 1993.
Semua guru, kakitangan, ibu bapa, atau mana-mana individu yang berurusan dengan sekolah adalah dilarang menghisap rokok di kawasan sekolah.
Sementara itu, Fadhlina juga secara berseloroh berkata, larangan merokok atau menghisap vape juga terpakai kepada ‘yang berhormat’ di Dewan Rakyat dan Dewan Negara. -Sinar Harian