Guru-guru sebenarnya telah banyak melakukan perubahan - GPMS Kedah
Raja Hisyam Raja Zaid
Mei 16, 2021 11:56 MYT
Mei 16, 2021 11:56 MYT
KUALA LUMPUR: Guru-guru di negara ini telah cuba sedaya upaya menyerap kaedah baharu dalam sistem pembelajaran yang sentiasa berubah mengikut keperluan semasa dalam suasana pandemik COVID-19 yang sedang melanda.
Menurut Pengerusi Alumni Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah, Shamsul Bahar Abd Rani, jika merujuk kepada peranan yang dimainkan oleh guru dalam mendepani sistem Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), golongan pendidik ini telah melakukan apa yang terdaya bagi menjayakannya.
"PdPR misalnya, kita boleh melihat sejak pandemik melanda, guru-guru telah mengubah kaedah pembelajaran sebelumnya.
"Ia kesungguhan dan iltizam ditunjukkan oleh guru-guru di Malaysia. Bagaimanapun, apabila berlaku PdPR, sudah pasti ada yang perlu ditambah baik.
"Kita perlu memberi penekanan kepada mereka yang berada di luar bandar. Tentunya tak sama cabaranya berbanding golongan yang berada di bandar," jelasnya ketika ditemu bual oleh Astro AWANI pada Ahad.
Namun katanya, usaha ini memerlukan sokongan berterusan daripada semua pihak termasuk sektor ketiga negara iaitu komuniti, agar tiada pelajar yang terjejas.
“Ia adalah langkah positif. Bukan sahaja guru, malah ibu bapa dan pelajar itu sendiri perlu berubah dalam dunia revolusi keempat.
“Ini adalah persiapan dan persediaan yang telah kita letakan kepada masa depan," jelasnya.
Shamsul juga tidak menafikan rasa kekok dalam kalangan semua pihak itu berlaku pada peringkat awal ini.
Justeru jelasnya, latihan berterusan diperlukan bagi memastikan ia berjalan dengan baik dan mampu mengalami fasa perbuhan positif dari semasa ke semasa.
#Astro
#Astro Awani
#Kedah
#Cuba
#pelajar
#Melayu
#guru
#Malaysia
#COVID-19
#pengajaran dan pembelajaran
#pandemik