Guru enggan divaksin: Ada tugasan lain, bukan tidak perlu ke sekolah - Radzi Jidin
Abd Hadi Che Awang
September 4, 2021 12:34 MYT
September 4, 2021 12:34 MYT
YAN: Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin menegaskan bahawa guru-guru yang enggan divaksin akan diberikan tugasan lain di sekolah semasa sesi persekolahan dibuka kelak yang bukan melibatkan aktiviti pengajaran di dalam kelas secara bersemuka dengan pelajar.
Penjelasan itu sekali gus menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa guru-guru berkenaan tidak perlu mengajar serta terlibat dalam sesi persekolahan yang akan dibuka pada 3 Oktober depan.
"Guru-guru ini tidak dibenarkan mengajar murid secara bersemuka di dalam kelas, tetapi akan diberi tugasan lain di sekolah. Di sekolah banyak tugasan, jadi kalau itu keadaannya (yang mana kesemua mereka masih enggan menerima vaksin), guru-guru ini akan diberi tugas lain.
"Namun begitu pada masa yang sama, kita sedang berbincang dengan JPA berhubung tindakan dan pendekatan selanjutnya untuk guru guru ini.
"Kita kena bezakan guru yang memang atas dasar kesihatan tidak dapat divaksinkan, dan ada guru yang memilih untuk tidak divaksinkan, itu yang 2,500 (jumlah enggan terima vaksin)," ujar beliau.
Radzi berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan di Sekolah Kebangsaan Haji Nyak Gam, Yan pada Sabtu.
Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan bahawa tindakan kementerian dalam melaksanakan proses pertanyaan kepada ibu bapa berkaitan kebenaran pemberian vaksin kepada anak masing-masing adalah merupakan kaji selidik dalam mendapatkan gambaran awal berhubung perkara itu.
Ia juga bukanlah satu arahan yang dikeluarkan KPM memandangkan urusan melibatkan proses pemberian vaksin adalah berada di bawah Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) dan Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF).
Pada Jumaat, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil keputusan untuk tidak membenarkan seramai 2,500 guru yang enggan vaksin COVID-19 terlibat dalam sesi pengajaran di dalam kelas serta berinteraksi secara bersemuka dengan pelajar.
Tindakan itu dibuat bagi memastikan sesi persekolahan yang akan dibuka kelak selamat untuk kumpulan pelajar, guru dan pihak pengurusan sekolah.