Guru duda dikatakan liwat pelajar lebih 50 kali direman tujuh hari - Polis Mukah

Bernama
Jun 15, 2017 22:06 MYT
Guru berstatus duda berusia 42 tahun itu ditahan di sebuah sekolah rendah di hulu Kapit pada kira-kira 10.48 pagi kelmarin. - Gambar hiasan
Seorang guru sekolah rendah yang dikatakan meliwat seorang pelajar lebih 50 kali dari Ogos 2015 hingga Mei lalu ditahan reman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan, kata Ketua Polis Daerah Mukah DSP Jimmy Panyau.
Beliau berkata, perintah reman itu diperolehi di Mahkamah Majistret Mukah hari ini dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana melakukan seks di luar tabii.
Guru berstatus duda berusia 42 tahun itu ditahan di sebuah sekolah rendah di hulu Kapit pada kira-kira 10.48 pagi kelmarin sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Mukah pada hari ini.
Perbuatan guru tersebut terbongkar selepas mangsa berusia 14 tahun yang belajar di sebuah sekolah menengah di Mukah nekad memberitahu gurunya yang kemudiannya bersama-sama mangsa membuat laporan polis pada petang Isnin.
Jimmy berkata siasatan awal mendapati suspek telah melakukan perbuatan keji itu lebih 20 kali di kuarters guru dan hotel murah di Kapit sejak mangsa berusia 12 tahun.
Mangsa yang tertekan meminta kebenaran daripada keluarganya untuk menyambung pelajaran di sebuah sekolah menengah di Mukah, katanya.
"Namun, suspek masih menghubungi mangsa sebelum kembali meliwatnya lebih 30 kali di sebuah rumah di Kemuyang, Sibu sepanjang tahun lepas dan beberapa kali lagi antara Februari hingga Mei lalu di hotel murah di Mukah," katanya.
Jimmy berkata mangsa tidak melaporkan perkara itu kepada polis kerana takut kepada suspek namun perubahan sikapnya dikesan oleh guru sekolah menengah berkenaan.
"Selepas dipujuk, mangsa akhirnya menceritakan kejadian yang menimpanya sebelum guru terbabit dan mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Mukah untuk tindakan selanjutnya," katanya.
-- BERNAMA
FJ M FJM RHM 15/06/2017 21-21ST
#guru #liwat #Mahkamah Majistret #Mukah #reman #siasatan #Sibu
;