Guru ditemui meninggal dunia lebih seminggu dalam rumah sewa

Sinar Harian
Januari 2, 2024 19:10 MYT
Mangsa yang berusia 55 tahun yang dipercayai meninggal lebih dari seminggu ditemui oleh pemilik rumah sewanya kira-kira jam 5.40 petang Isnin. - Gambar hiasan
KUALA TERENGGANU: Seorang guru wanita ditemui meninggal dunia di rumah sewanya di Kampung Pengadang Baru dekat sini pada Isnin.
Mangsa yang berusia 55 tahun yang dipercayai meninggal lebih dari seminggu ditemui oleh pemilik rumah sewanya kira-kira jam 5.40 petang Isnin.
Menurut abang mangsa, Shahadan, 57, berkata, tuan rumah pergi ke rumah tersebut selepas mangsa gagal dihubungi.
"Tuan rumah ingin bertanya kepada arwah sama ada ingin menggunakan perkhidmatan sewa kereta untuk ke sekolah.
"Sebaik sampai di rumah, dia terbau busuk dari dalam rumah dan kemudian bertindak menghubungi pihak polis," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Selasa.
Menurutnya, mangsa tinggal bersendirian di rumah tersebut sejak 13 tahun lalu.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
"Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut," katanya. - Sinar Harian
#guru maut #kematian mengejut #rumah sewa #terengganu
;