Guru disiplin didakwa bunuh isteri

Bernama
November 27, 2018 16:22 MYT
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum gantung sampai mati jika sabit kesalahan. - Gambar hiasan
Seorang guru disiplin dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh isterinya menggunakan rak penyidai baju, minggu lepas.
Lim Fong Aun, 42 tahun didakwa membunuh isterinya T. Shanti, seorang guru tuisyen dengan cara memukul di bahagian kepala dengan menggunakan rak penyidai baju di kediaman mereka di Taman Seri Indah, Jalan Abdul Arif, Ayer Itam di sini pada 10 malam, 18 Nov lalu.
Tiada pengakuan direkodkan dan tertuduh hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret L. Umma Devi.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan 27 Dis untuk sebutan semula kes bagi laporan bedah siasat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Syafiq Mohd Sazali manakala guru itu diwakili peguam RSN Rayer.
#bunuh #guru #isteri #lelaki #Lim Fong Aun #Mahkamah Majistret #T Shanti
;