Guru disiasat rotan pelajar 22 kali dengan penyedok sampah
Ridzal Abdullah
April 28, 2019 00:23 MYT
April 28, 2019 00:23 MYT
Seorang guru di salah sebuah sekolah menengah disiasat polis kerana merotan pelajar menggunakan penyedok sampah di punggung hingga menyebabkan kecederaan.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor dalam satu kenyataan berkata, pelajar tersebut dipukul sebanyak 22 kali di dalam sebuah kelas di hadapan pelajar lain.
"Kejadian berlaku pada Rabu lalu dan laporan polis dibuat pada Jumaat oleh pelajar itu sendiri, yang berusia 13 tahun iaitu pelajar tingkatan satu," katanya..
Mengikut fakta kes, kejadian yang belaku lebih kurang 11.30 pagi bertempat di bilik tersebut, pengadu mengatakan telah dirotan oleh guru kelas pengadu dengan menggunakan batang penyedok sampah di bahagian punggung sebanyak 22 kali.
Katanya kejadian tersebut telah berlaku di hadapan pelajar lain di dalam kelas tersebut.
"Kejadian dikatakan berpunca daripada tindakan pengadu yang tidak hadir ke sekolah tanpa kebenaran dan makluman kepada guru kelas," katanya.
Siasatan awal ke atas suspek mendapati, sewaktu kejadian suspek telah terlupa membawa rotan ke dalam kelas dan sebagai alternatif untuk melaksanakan denda, suspek telah menggunakan batang plastik penyedok sampah sebagai rotan.
Akibat pukulan tersebut, pengadu telah mengalami lebam di bahagian punggung dan telah diarahkan untuk mendapatkan rawatan awal.
Hasil pemeriksaan mendapati pengadu mengalami kecederaan lebam dan kecederaan pada otot lembut.
#batang penyedok sampah
#penyedok sampah
#Polis Daerah Lahad Datu
#pukul pelajar guna penyodok sampah
#rotan