Guru dilapor maut selepas terlibat dalam pergaduhan

Adie Sufian Zulkefli
Julai 28, 2022 21:08 MYT
Seorang guru lelaki yang terlibat dalam kejadian pergaduhan dilaporkan maut ketika menerima rawatan di Hospital Kulim, hari ini. - Gambar hiasan
KULIM: Seorang guru lelaki yang terlibat dalam kejadian pergaduhan dilaporkan maut ketika menerima rawatan di Hospital Kulim, hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Datuk G Suresh Kumar berkata, mangsa seorang guru pendidikan moral sebuah sekolah di Pulau Pinang berusia 54 tahun dikatakan pergi ke satu lokasi bersama rakannya.
Katanya, ketika itu guru berkenaan didatangi beberapa individu dan telah tercetusnya pergaduhan.
“Mangsa bagaimanapun dibawa pulang ke rumahnya di Lunas oleh rakannya dalam keadaan cedera.
“Isteri mangsa yang bimbang dengan tahap kecederaan mangsa telah meminta rakan suaminya membawa mangsa ke ke Hospital Kulim pada jam 9.15 malam Rabu,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Jelas Suresh, menurut doktor mangsa mengalami patah tengkuk dan terpaksa bergantung dengan alat bantuan pernafasan sebelum disahkan meninggal dunia jam 10 pagi Khamis.
Katanya, kini polis sedang menunggu keputusan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian mangsa.
“Siasatan lanjut masih dijalankan,” ujarnya.
#guru lelaki #pergaduhan #Hospital Kulim #JSJ Kedah #guru pendidikan moral #sekolah #pulau pinang
;