Guru didenda RM1,000 cederakan dua beradik dewasa

Muhafandi Muhamad
Januari 17, 2021 17:32 MYT
Tertuduh yang hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda baru mengalami kemalangan pada Disember lalu dan sehingga kini masih dalam proses rawatan. - Astro AWANI
KOTA BHARU: Seorang guru mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, Kota Bharu hari ini atas pertuduhan sengaja mencederakan dua beradik lelaki pada Mac tahun lalu.
Yusri Budin, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri.
Majistret kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,000 terhadap tertuduh.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin dan tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Raja Mohammad Afiq Raja Azmi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas di sebuah sekolah di Perak dengan sengaja mencederakan dua beradik lelaki masing-masing berusia 43 dan 30 tahun di tepi jalan hadapan Kolej Lincoln, di sini, jam 8.15 malam pada 28 Mac 2019.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga satu bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Raja Mohammad Afiq memohon hukuman ringan dikenakan memandangkan anak guamnya sudah insaf dan perlu menanggung enam anak serta isteri.
Katanya, tertuduh yang hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda juga baru mengalami kemalangan pada Disember lalu dan sehingga kini masih dalam proses rawatan.
#mahkamah #guru #didenda #mencederakan #Mahkamah Majistret #Kota Bharu #Perak #Yusri Budin
;