Guru didakwa raba murid dalam kelas
Shuhada Abdul Kadir
Januari 19, 2024 11:55 MYT
Januari 19, 2024 11:55 MYT
ALOR GAJAH: Seorang guru lelaki dihadapkan di Mahkamah Sesyen Alor Gajah hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di dalam bilik darjah dua tahun lalu.
Tertuduh, K. Ramakrishnan, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus satu pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang anak muridnya dengan cara meraba bahagian anggota sulit kanak-kanak itu.
Kesalahan itu dilakukan di dalam kelas Tahun Lima sebuah sekolah di Durian Tunggal, Alor Gajah kira-kira pukul 10.30 pagi, 26 Mei 2022.
Justeru, tertuduh yang kini bertugas di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.
Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari mencadangkan jaminan sebanyak RM 20,000 serta syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa.
Tertuduh yang diwakili peguam S. Karthigesan bagaimanapun merayu jumlah berkenaan dikurangkan memandangkan tertuduh yang sudah berkahwin menanggung ibu serta isterinya.
Tertuduh juga telah memberi kerjasama yang baik sepanjang tempoh penyiasatan selain tiada sebab untuk anak guamnya berada dekat dengan mangsa yang juga saksi pendakwaan memandangkan dia kini tidak lagi bertugas di sekolah.
Hakim Nariman pada penghakimannya kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan tertuduh untuk tidak mendekati mangsa mahupun ahli keluarga.
Mahkamah turut menetapkan 28 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.