Guru didakwa lakukan amang seksual, kelucahan melampau terhadap kanak-kanak

Muhafandi Muhamad
Mac 31, 2022 15:59 MYT
Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin. - Foto Astro AWANI
KOTA BHARU: Seorang guru sains dan matematik didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini atas lapan pertuduhan termasuk amang seksual dan kelucahan melampau terhadap seorang pelajar lelaki di bawah umur antara 2014 hingga 2021.
Bagaimanapun tertuduh, Muhammad Nasution Noh, 49, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merangsang seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ketika kejadian untuk melakukan suatu perbuatan kelucahan melampau dengannya di perumahan guru di daerah Kuala Krai, jam 5 pagi, pada 24 November 2014.
Untuk kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan maksimum 15 tahun dan juga sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah | Guru didakwa atas lapan pertuduhan seksual
Pertuduhan kedua hingga ketujuh, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa yang sama di perumahan guru di daerah kuala krai dan sebuah rumah di Melor, Kota Bharu.
Perbuatan itu dilakukan antara jam 11 malam hingga 3 petang di antara 11 Mac 2016 hingga April 2021.
Kesalahan itu didakwa mengikut seksyen 377C Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun sehingga 20 tahun dan juga sebatan.
Bagi pertuduhan kelapan, tertuduh didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap mangsa yang sama di sebuah rumah di Gunong, Bachok, lebih kurang 3 pagi, pada 6 November 2021.
Perbuatan itu didakwa mengikut seksyen 377D Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fariz Abdul Hamid, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Hasif Hassan.
Terdahulu, Ahmad Fariz tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana kesalahan serius dan mohon kes dibicarakan bersama semua pertuduhan kerana membabitkan tertuduh, mangsa dan saksi yang sama.
Bagaimanapun, Muhammad Hasif memohon supaya tertuduh diberi jaminan yang minimum kerana tertuduh mempunyai seorang isteri dan empat anak yang masih bersekolah.
Katanya, lelaki itu adalah penanggung tunggal keluarga dan tidak akan mengganggu mangsa serta saksi, tertuduh juga tidak akan lari kerana tinggal dan bekerja di Kota Bharu.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Mei akan datang untuk sebutan semula kes.
#guru sains matematik #kelucahan melampau #amang seksual #Kota Bharu
;