Guru dicekup salah guna dadah
Nazialita Geynna Maharan
April 10, 2018 13:39 MYT
April 10, 2018 13:39 MYT
Seorang guru sekolah menengah dicekup polis kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah dalam satu serbuan di Taman Changkat Lada Raya, dekat Kampung Gajah, di sini, pada awal pagi Selasa.
Dalam serbuan sekitar 12.45 tengah malam itu, pihak Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik menemui guru tersebut sedang duduk di lantai bilik rumahnya.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata, pemeriksaan lanjut menjumpai satu bekas plastik berwarna ungu yang mengandungi tumbuhan kering disyaki dadah jenis Cannabis.
“Selain dadah seberat 29.59 gram itu, polis turut menemui satu paket plastik berisi tembakau, seikat daun rokok dan gunting, dipercayai peralatan untuk menghisap dadah,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.
Mohamad berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati guru berusia 45 tahun itu positif dadah jenis THC (Tetra Hydrocannibol).
Jelasnya, guru berkenaan akan disiasat atas dua kesalahan iaitu memiliki dadah dan positif ujian saringan, masing-masing di bawah Seksyen 39A (1) dan Seksyen 15(1), Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Serbuan yang dilakukan ke atas guru yang disyaki penagih dadah itu adalah berdasarkan risikan pihak kami sebelum ini. Tiada sebarang rekod lampau ditemui padanya.
“Pihak kami akan meneruskan siasatan berkenaan kes ini dari masa ke masa,” ujarnya lagi
#Dadah
#guru
#jenayah
#Kampung Gajah
#Mohamad Zainal Abdullah
#penagih
#polis
#sekolah
#serbuan
#siasatan
#Siasatan Jenayah Narkotik