Guru diburu, cabul pelajar sambil janjikan jawatan pengawas

Sinar Harian
Julai 29, 2018 14:44 MYT
Difahamkan, perbuatan terkutuk guru berkenaan dilakukan sebanyak dua kali ke atas mangsa yang berusia 15 tahun. - Gambar hiasan
Seorang guru bahasa Inggeris diburu polis kerana disyaki mencabul seorang pelajar lelaki sekolah menengah di daerah ini.
Difahamkan, perbuatan terkutuk guru berkenaan dilakukan sebanyak dua kali ke atas mangsa yang berusia 15 tahun.
Pada 11 April lalu, mangsa diarahkan guru berkenaan menanggalkan pakaian sebelum bertindak mencium bibir mangsa di sebuah bilik di sekolah berkenaan dengan alasan perbuatan itu melayakkannya menjadi pengawas.
Perbuatan keji itu sekali lagi diulang 11 hari kemudian, namun lokasinya di sebuah bilik di rumah guru lelaki berkenaan.
Mangsa tidak berani mendedahkan perbuatan salah guru berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Tidak mahu guru kecewa, pelajar tahfiz akur lakukan seks luar tabii
Bagaimanapun, ketika suspek mengambil cuti tanpa gaji selama sebulan, mangsa memaklumkan kepada pihak sekolah pada Khamis lalu.
Atas nasihat pihak sekolah, mangsa telah membuat laporan polis semalam berhubung kejadian berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan menerima laporan kes tersebut.
“Mangsa dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,” katanya.
#buru #cabul #pelajar lelaki #pengawas #Sekolah Menengah
;