Guru dibenar guna telefon bimbit untuk PdPc - Kamalanathan

Astro Awani
Februari 8, 2018 08:00 MYT
Sebelum ini, guru tidak dibenarkan membawa dan menggunakan telefon bimbit di dalam bilik darjah namun boleh membawanya ke sekolah dan disimpan di pejabat atau bilik guru. - Gambar hiasan
Guru-guru boleh menggunakan peranti mereka sebagai salah satu bahan dalam kaedah pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) di mana ianya membantu dari segi pendidikan pada abad ke-21.
Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk P. Kamalanathan berkata, kementeriannya juga sentiasa sedar persekitaran hari ini sentiasa memerlukan pengintegrasian dengan menghubungkan teknologi yang sedia ada.
"Guru adalah aset yang paling penting dalam sistem pendidikan kami dan saya sedar ramai guru-guru kita mengoptimumkan sumber teknologi yang mereka ada untuk memperkayakan kualiti pengajaran dan pemudahcaraan.
"Malah, saya sendiri tahu ramai guru- guru yang menggunakan banyak peranti, telefon bimbit, tablet komputer persendirian serta plan data telefon mereka sendiri untuk menjalankan PdPc.
"Atas segala usaha tersebut, saya dan Kementerian Pendidikan Malaysia akan sentiasa menghargai pengorbanan guru," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
BACA: Larang bawa telefon ke kelas, kenapa beri telefon bimbit YES, soal NUTP
Sebelum ini, Kamalanathan memberitahu, guru tidak dibenarkan membawa dan menggunakan telefon bimbit di dalam bilik darjah namun boleh membawanya ke sekolah dan disimpan di pejabat atau bilik guru.
Jelasnya, perkara itu merupakan prosedur yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan kepada semua guru.
Bagaimanapun ia menimbulkan reaksi Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Harry Tan Huat Hock yang menyatakan, larangan tersebut dilihat tidak seiring dengan pengagihan telefon bimbit YES di kalangan guru.
Dalam pada itu kata Kamalanathan, guru-guru sememangnya dibenarkan untuk membawa telefon mereka ke dalam kawasan sekolah.
Bagaimanapun ujarnya, kepenggunaannya atas urusan persendirian adalah tidak patut dan tidak boleh mengganggu proses pengajaran dan pemudahcaraan dengan murid.
Sementara itu Presiden NUTP, Kamarozaman Abd Razak ketika dihubungi menegaskan, Kamalanathan perlu sentiasa berhati-hati apabila membuat sebarang kenyataan yang boleh mengguris hati guru.
Isu telefon bimbit timbul selepas kejadian seorang pelajar perempuan dari sebuah sekolah di Nibong Tebal yang dikatakan telah membunuh diri dengan menggantung diri di dalam sebuah bilik di rumahnya akibat tertekan selepas dituduh mencuri telefon bimbit seorang guru di sekolah pada 22 Jan lalu.
#Kementerian Pendidikan #NUTP #p kamalanathan #PdPc #Telefon bimbit #YES
;