Guru di institusi pendidikan Islam terima bantuan sara hidup RM800

Afiezy Azaman
April 2, 2020 17:15 MYT
Wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedikit sebanyak menjejaskan para guru di Institusi Pendidikan Islam terutamanya dari sudut pengurusan operasi dan sara diri. - Gambar fail/BERNAMA
Kerajaan mengumumkan bantuan dana sebanyak RM21 juta secara 'one-off' kepada sekolah Tahfiz Swasta, Pondok, Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Agama Swasta yang berdaftar dengan pihak berwajib di seluruh negara.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, dana itu adalah daripada peruntukan RM100 juta yang disediakan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di bawah Bajet 2020 yang bertujuan membiayai penyelenggaraan dan naiktaraf institusi tahfiz, pondok dan sekolah agama berdaftar.
"Seramai 22,920 guru akan menerima bantuan sara hidup RM800 secara 'one-off'.
"Bantuan ini juga akan bertujuan untuk pengurusan operasi bertujuan membiayai kos pengurusan, utiliti, sewaan dan lain-lain perbelanjaan operasi kepada 2,119 buah institusi pendidikan di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, pihaknya prihatin akan kesan wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedikit sebanyak menjejaskan para guru di Institusi Pendidikan Islam terutamanya dari sudut pengurusan operasi dan sara diri.
"Penghargaan ditujukan kepada Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz atas kelulusan bagi peruntukan berkenaan untuk tujuan tersebut.
"Besarlah harapan saya agar bantuan ini dapat meringankan beban warga Institusi Pendidikan Islam yang terjejas akibat PKP," jelasnya.
#Bajet 2020 #guru #Islam #JAKIM #Malaysia #pendidikan #Perdana Menteri #rakyat #tahfiz
;