Guru cipta sabun guna minyak masak terpakai
Bernama
Jun 29, 2024 05:30 MYT
Jun 29, 2024 05:30 MYT
CHUKAI: Hanya menggunakan minyak masak terpakai dan dua lagi barang asas, seorang guru Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Tayor, Kemaman, di sini berjaya menghasilkan sabun serba guna yang mampu menjana pendapatan sampingan.
Nor Halimah Sa'diah Awang@Abdullah, 50, berkata dia mula menghasilkan sabun tersebut tiga tahun lepas untuk pelbagai kegunaan termasuk mencuci pinggan mangkuk, pakaian dan badan.
Bagaimanapun, pada peringkat awal dia hanya menggunakan sabun tersebut untuk kegunaan sendiri dan keluarga.
"Sabun ini hanya menggunakan minyak terpakai, air dan sodium hydroxide. Ia tidak perlu dimasak hanya dikacau hingga larut menggunakan pengisar tangan dan dituang ke dalam bekas yang dikehendaki.
"Bagaimanapun, ia perlu direhatkan selama empat minggu untuk benar-benar selamat sebelum boleh digunakan sama ada sebagai sabun mandi, cuci pinggan mahupun basuh baju," katanya ketika ditemui pada Bengkel Peningkatan Kemahiran Kitar Semula Minyak Masak anjuran Petronas dan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) di sini.
Guru Bahasa Melayu itu berkata dia terdorong untuk menghasilkan inovasi tersebut selepas terlibat aktif dengan program kitar semula sejak 2012.
Menurutnya amalan kitar semula termasuk minyak masak terpakai bukan sahaja mampu mengurangkan pengeluaran sisa buangan kepada alam sekitar malah menjana pendapatan sampingan untuk masyarakat.
Walaupun tidak diuji secara klinikal, dia percaya sabun serba guna buatannya itu tidak memudaratkan pengguna kerana ia mengandungi gliserin semulajadi yang lembut pada kulit.
"Pada awalnya memang sukar untuk meyakinkan orang ramai untuk menggunakan sabun ini kerana ia diperbuat daripada minyak masak terpakai tetapi selepas penerangan terperinci dan mencuba sendiri, ramai yang berminat membelinya.
"Setakat ini saya hanya mampu hasilkan dalam 15 kilogram sabun sebulan dan dijual hanya kepada peniaga kedai makan serta kedai runcit kerana kekangan masa," katanya yang juga aktif menganjurkan bengkel untuk pelajar sekolah.
Sementara itu, Pengurus Kanan Pejabat Petronas Wilayah Timur Mohd Munawir Mahdun berkata Bengkel Peningkatan Kemahiran Kitar Semula Minyak Masak antara aktiviti di bawah projek rintis impak sosial Petronas dengan kerjasama Yayasan Hijau Malaysia dan Majlis Perbandaran Kemaman.
Menurutnya sebanyak 40 suri rumah terpilih menyertai program itu yang bertujuan menjana pendapatan sampingan untuk masyarakat setempat terutama daripada golongan B40.
"Selain menjana pendapatan, kita harap kesedaran masyarakat terhadap amalan pengurusan sisa pepejal yang betul dan sistematik juga dapat ditingkatkan.
"Amalan kitar semula perlu diterapkan di semua peringkat usia dan lapisan masyarakat supaya kelestarian alam dapat dijaga," katanya.-- BERNAMA