Guru cekal didik anak pedalaman ke mercu kejayaan
Astro Awani
Mei 16, 2022 09:10 MYT
Mei 16, 2022 09:10 MYT
KAPIT: Setelah 12 tahun mengajar di pedalaman sejak penempatan pertama, tidak sedikit pun Cikgu Kilat Stonie Nading merasa kecewa.
Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar di SK Nanga Oyan itu percaya, di sebalik itu ada kenangan pahit manis yang mendewasakannya sebagai seorang insan,
Dia yang juga lahir di Sungai Mujong, pedalaman Kapit akan merasa bangga tiap kali tahu ada anak muridnya berjaya hingga bekerjaya.
Katanya, walaupun sumbangan mereka tidak begitu besar, kejayaan anak-anak pedalaman adalah titik permulaan kepada kehidupan yang lebih baik masyarakat di sana.
"Sebab 12 tahun pengalaman sudah pastinya ramai bekas-bekas anak murid yang sekarang ini sudah mula bekerja, ada yang masih melanjutkan pelajaran.
"Apabila nampak mereka macam itu walaupun kita mungkin bagi orang, sumbangan kita kecil, tetapi apabila kita melihat kejayaan mereka memang sangat puas hati lagi-lagi apabila murid itu masih bertegur sapa dengan kita.
"Orang kita bukan minta murid itu bagi balasan balik pada kita tapi kepuasan kita melihat anak-anak pedalaman berjaya bersaing bersama murid-murid lain sangat puas hati," katanya.
Dek terlalu jauh rumah panjang dengan sekolah, anak-anak di pedalaman terpaksa berpisah daripada ibu bapa seawal usia tujuh tahun untuk mengejar impian mereka.
Kesungguhan itu memberi harapan kepada para guru di SK Nanga Oyan untuk terus berusaha menggunakan apa sahaja cara bagi mendidik mereka tanpa alasan.
"Memang saya kagum dengan semangat anak-anak pedalaman contoh baru-baru ini murid Tahun Satu mendaftar, bayangkan umur tujuh tahun sudah berpisah dengan ibu dan dapat menyesuaikan di asrama.
"Mereka sambung belajar jauh daripada keluarga untuk mendidik mereka berdikari memang kagum dengan mereka semua," katanya.
Kepada guru yang akan ditempatkan di kawasan pedalaman, kata Cikgu Kilat, berani sahut cabaran dan ada hikmah yang cukup besar maknanya buat anda pejuang masa depan anak-anak bangsa.
"Bagi guru guru pedalaman yang mungkin kita cakap belum berpengalaman tinggal di pedalaman, kena bersedia, kena sahut cabaran itu.
"Kalau kita dapat menyesuaikan diri dengan suasana di sana, ia akan menjadi satu pengalaman yang amat menyeronokkan.
"Kawan saya sendiri dari semenanjung, pada bulan pertama agak sukar tapi apabila kita dapat menyesuaikan diri, kita bergaul dengan apa semua, kita akan rasa seronok apa lagi kita mendidik anakanak pedalaman macam ini," ujarnya lagi.
Dengan pelajar kurang daripada 100 orang, guru-guru di SK Nanga Oyan tetap melaksanakan 'rural based learning' terutama semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.
Mereka akan berkunjung di setiap 14 buah rumah panjang di kawasan Sungai Mujong menggunakan bot untuk mendidik bukan sahaja anak-anak, malah ibu bapa pelajar sebagai cagaran ilmu kepada pendidikan berkualiti yang konsisten.