Guru bunuh diri untuk bersama ibu bapa

Nazialita Geynna Maharan
Julai 12, 2016 09:29 MYT
Dalam nota itu mangsa turut berpesan untuk menjaga dua ekor anjing kesayangannya. - Gambar hiasan
'Tolong letakkan abu saya bersama ibubapa saya'.
Itu merupakan pesanan terakhir Lim Sing King, 49, dalam satu nota yang dijumpai abang kandungnya selepas mayat adiknya dijumpai di rumah Taman Bercham Aman awal pagi tadi.
Lim yang merupakan seorang guru dijumpai membunuh diri dengan menghidu asap arang yang dihidupkan sendiri.
Kejadian mula disedari apabila rakan sekerja mangsa menyedari Lim tidak hadir mengajar ke sekolah sebelum menghubungi abang mangsa untuk mendapat kepastian.
Mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dan mulutnya berbuih dan mukanya bertukar hitam akibat terkena habuk arang.
Dalam nota itu mangsa turut berpesan untuk menjaga dua ekor anjing kesayangannya.
Lim, yang mengajar subjek Sejarah merupakan seorang guru yang berdedikasi tinggi dan disayangi oleh pelajar-pelajar di sekolahnya.
Menurut jiran mangsa yang tidak ingin dikenali, beliau terhidu bau arang yang amat kuat pada pagi kejadian namun tidak mencurigai sebarang kejadian.
Katanya, mangsa juga bersikap normal dan menjalankan rutin hariannya seperti menyiram bunga, mencuci kereta dan berbual seperti biasa pada hari sebelumnya.
Lim, yang dikenali dengan sifat peramah di kalangan jirannya juga pernah mengajar di Kuala Lumpur sebelum kembali ke Ipoh untuk mengajar di sekolah berkenaan selain aktif dalam Persatuan St John Ambulans Ipoh.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.
Jelasnya, pihaknya menerima panggilan berkenaan kes tersebut sekitar 10.50 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian.
"Setibanya kami di tempat kejadian, pihak polis mendapati mangsa telah meninggal dunia dan ianya disahkan oleh pembantu perubatan daripada Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.
"Siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku dan bedah siasat juga mendapati mangsa meninggal dunia berikutan terhidu racun karbon monoksida," katanya ketika ditemui pemberita.
Sum berkata kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
"Mayat mangsa telah dituntut oleh keluarganya pada petang Isnin," tambahnya.
#arang #bunuh diri #guru #ibu bapa
;