Guru bukan punca KBAT gagal

Adie Sufian Zulkefli
November 11, 2017 21:33 MYT
Mahdzir menafikan kegagalan KBAT berpunca daripada guru. - Gambar fail
Kementerian Pendidikan menafikan dakwaan guru merupakan punca kegagalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) seperti yang tersebar baru-baru ini.
Sebaliknya Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan mengenai KBAT telah disalah tafsir.
Menurutnya, KBAT yang baru dilaksanakan tiga tahun yang mana para guru juga dilatih dari semasa ke semasa sebagai satu transformasi dalam pendidikan.
"Tidak timbul soal kegagalan KBAT ini berpunca daripada guru kerana secara keseluruhannya ia membabitkan semua masyarakat.
"Yang pentingnya adalah guru-guru dilatih dari semasa ke semasa dan tidak timbul soal kegagalan (pada guru).
"Jika saya lihat kembali kenyataan itu (Kamalanathan) bukan maknanya Kamalanathan sebut kata kegagalan daripada guru, sebaliknya melibatkan keseluruhan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Liga Piala Ahli Parlimen Padang Terap, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Nerang, petang ini.
Beliau mengulas kenyataan Kamalanathan yang disalah tafsir portal berita seolah-olah menyalahkan guru menjadi punca kegagalan KBAT.
Malah Kementerian Pendidikan turut dipersalahkan beberapa pihak susulan laporan yang disalah tafsir itu termasuk Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan yang mendakwa sistem dan dasar pendidikan tidak ditambah baik menjadi punca kegagalan itu.
Mengulas mengenai dakwaan Manivannan itu, Mahadzir berkata, KBAT bukanlah program sebaliknya ia adalah satu kaedah berfikir yang dimasukkan dalam pengajaran di sekolah.
Dalam tranformasi pendidikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, semasa membuat KBAT pada 2010 dan diumumkan kepada rakyat pada tahun 2013, beliau mahu ada anjakan dalam soal pemikiran kanak-kanak dengan memasukkan elemen KBAT.
Beliau berkata, tidak timbul isu setiap kali menteri bertukar dasar pendidikan turut bertukar kerana apa yang dibuat merupakan kesinambungan daripada sistem sebelum ini.
#berfikir #disalah tafsir #guru #KBAT #Kementerian Pendidikan #Mahdzir Khalid #p kamalanathan #pendidikan
;