Guru besar mengaku tidak bersalah guna dokumen palsu BAP 2019

Bernama
Ogos 13, 2024 08:28 MYT
Sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Sept. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Seorang guru besar sekolah rendah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung Bayaran Bantuan Awal Persekolahan (BAP) pada 2019.
Azatulakmal Abd Razak, 54, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Wanita itu didakwa secara tidak jujur telah menggunakan Borang Akuan Penerimaan atau Penolakan Pembayaran BAP 2019 dengan mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen tersebut adalah palsu.
Kesalahan berkenaan dilakukan di Sekolah Kebangsaan Petaling Jaya.
Pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun sama membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Pegawai Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Alimi Mustapha menawarkan jaminan RM10,000 dan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah selain melaporkan diri ke pejabat SPRM berhampiran.
Azatul yang tidak diwakili peguam memohon supaya mahkamah menetapkan jaminan yang rendah kerana dia telah diisytihar bankrap oleh Jabatan Insolvensi Malaysia, selain menjaga ibu dan adik yang mempunyai masalah mental dan anak-anak yang perlu ditanggung.
Hakim Datuk Anita Harun kemudiannya menetapkan wang jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah, selain perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM di Shah Alam setiap awal bulan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Sept.
-- BERNAMA
#guru besar didakwa #Bayaran Bantuan Awal Persekolahan #guna dokumen palsu #Azatulakmal Abd Razak #SPRM #Sekolah Kebangsaan Petaling Jaya