Guru besar mengaku tidak bersalah beri kontrak alat bantu mengajar pada isteri, adik lelaki

Astro Awani
Mac 21, 2022 17:59 MYT
Seorang guru besar sekolah rendah di sini mengaku tidak bersalah atas 25 pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memberi kontrak kepada isteri dan adik lelakinya membabitkan kelulusan tender berjumlah RM36,466.15.
KOTA KINABALU: Seorang guru besar sekolah rendah di sini mengaku tidak bersalah atas 25 pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memberi kontrak kepada isteri dan adik lelakinya membabitkan kelulusan tender berjumlah RM36,466.15.
Tertuduh, Hussin Amid, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu hari ini.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah menggunakan kedudukannya dalam membuat keputusan meluluskan tender pembelian alat bantu mengajar dan peralatan kepada syarikat milik isterinya dan syarikat milik adiknya.
Kesemua perbuatan itu dipercayai dilakukan di sebuah sekolah rendah di daerah ini sekitar November 2017 dan Oktober 2019.
Kesemua pertuduhan didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu , jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Mahkamah turut menetapkan ikat jamin tertuduh pada RM10,000 dengan deposit RM6,000 beserta seorang penjamin tempatan serta diarahkan untuk melapor diri ke pejabat SPRM Kota Kinabalu sekali dalam tempoh dua bulan.
Dia turut diarahkan untuk tidak menganggu saksi-saksi pendakwaan, manakala tarikh sebutan semula kes adalah pada 24 Mei depan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Nurul Izzati Sapifee sementara tertuduh diwakili peguam Nabila Norsahar.
#Guru Besar #beri kontrak #syarikat isteri #adik lelaki
;