Guru besar mati lemas kereta terhumban dalam sungai

Adie Sufian Zulkefli
Ogos 17, 2020 08:28 MYT
Kereta yang dipandu Mohamad Noor Ismail terhumban ke dalam sungai ketika mangsa dalam perjalanan ke sekolah.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tandop Besar, Kuala Nerang, Mohamad Noor Ismail, 57, ditemui lemas dalam sungai Kampung Lama, dekat Jitra awal pagi tadi.
Ketika kejadian, mangsa dipercayai sedang dalam perjalanan ke sekolah.
Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, mangsa baru keluar dari rumahnya di Taman Seri Aman, Jitra dan memandu kereta seorang diri.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dari arah Bandar Darulaman menghala ke Malau dan sebaik tiba di Kampung Lama (lokasi kejadian), kereta yang dipandu mangsa hilang kawalan lalu terlanggar penghadang jalan.
Berikutan itu, kereta mangsa terhumban ke dalam sungai.
Mohd Ismail berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedic Hospital Jitra sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#Guru Besar #Hospital Sultanah Bahiyah #Kedah #Kuala Nerang #mati lemas #Mohamad Noor Ismail #Sekolah Kebangsaan Tandop Besar #terhumban dalam sungai