Guru besar ditahan salah guna wang sumbangan
Radhi Muslim
Januari 11, 2022 20:32 MYT
Januari 11, 2022 20:32 MYT
SANDAKAN: Seorang guru besar ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini kerana disyaki menyalahgunakan wang sumbangan berjumlah kira-kira RM8,000.
Menurut sumber, wanita berusia 60 tahun tersebut ditahan kira-kira pukul 11 pagi ketika dipanggil untuk memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Sandakan bagi membantu siasatan.
Tambahnya, suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan dan dijangka akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Sandakan, minggu ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 403 dan Seksyen 405 Kanun Keseksaan.