Guru besar dipenjara enam bulan salah guna kuasa

Ridzal Abdullah
Julai 2, 2020 20:36 MYT
Tertuduh sebelum ini mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan alternatif menyalahgunakan kuasa. - Foto SPRM
Seorang guru besar dijatuhkan hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Khas Rasuah Sandakan pada Khamis, atas tiga pertuduhan salah guna kuasa.
Hakim, Abdul Bakar Manat turut memerintahkan tertuduh berusia 55 tahun, membayar denda RM3,000 atau tiga bulan penjara bagi setiap pertuduhan jika gagal membayar denda.
Abdul Bakar turut mengarahkan hukuman penjara dijalankan serentak.
Lelaki itu sebelum ini mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan alternatif menyalahgunakan kuasa dengan menggunakan wang Kumpulan Wang Sumbangan Wang Awam (SUWA).
Mengikut kertas pertuduhan, dia dituduh melakukan kesalahan itu antara 2016 dan 2017 dengan masing-masing berjumlah RM6,000, RM5,000 dan RM3,300.
Dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, pada Februari lalu, mahkamah terpaksa menangguhkan keputusan hukuman terhadap tertuduh selepas dia dikejarkan ke Hospital Duchess of Kent Sandakan akibat serangan jantung.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Faliq Basiruddin.
#Guru Besar #Hospital Duchess of Kent Sandakan #Kumpulan Wang Sumbangan Wang Awam #Mahkamah Khas Rasuah Sandakan #penjara #salah guna kuasa #SPRM #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia #SUWA
;