IPOH: Seorang guru besar sebuah sekolah rendah didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu selepas disabitkan kesalahan menggunakan dokumen palsu untuk pembayaran pembelian piano digital dan bangku, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Rosnah Mat Zain, 57, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu invois sebuah syarikat bertarikh 6 Desember 2021 kepada sekolahnya untuk pembayaran pembelian piano digital beserta bangku berjumlah RM10,200 yang mana dia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah sekolah rendah di Teluk Intan, pada 9 Desember 2021.

Guru besar itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ketika menjatuhkan hukuman Hakim menasihatkan tertuduh supaya selepas ini berhati-hati dalam membuat keputusan sebagai penjawat awam.

Hakim turut menasihatkan tertuduh supaya bertaubat kerana hukuman yang diterimanya hari ini hanya hukuman dunia dan balasan di akhirat belum tahu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor dan Pegawai Pendakwa Sharul Azuan Ghazali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.