Guru besar antara empat ditahan bantu siasatan tuntutan palsu

Nur Fazlizai Ali
Februari 5, 2024 15:51 MYT

Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Selasa bagi mendapatkan permohonan reman.- Gambar hiasan
KUALA TERENGANU: Seorang Guru Besar dan Ketua Pembantu Tadbir serta dua pengurus syarikat ditahan bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu berkaitan pembekalan makan minum murid dan pembersihan sekolah yang bernilai lebih RM1 juta.
Kesemua mereka dipercayai berkomplot membuat tuntutan palsu bagi pembekalan makan minum murid di asrama sebuah sekolah rendah di negeri Terengganu membabitkan kontrak pembekalan bernilai RM1.3 juta.
Menurut sumber, kesemua mereka dikatakan mengemukakan tuntutan palsu bermula tahun 2022 sehingga 2023 melibatkan tuntutan ke atas 100 orang murid sedangkan jumlah murid sebenar hanyalah 35 orang.
SPRM Terengganu dalam operasi yang sama turut menjalankan siasatan terhadap tuntutan palsu melibatkan kontrak pembersihan berjumlah RM35,000 di sekolah yang sama.
Kesemua suspek berusia dalam lingkungan 30-an hingga 50-an telah ditahan di Pejabat SPRM Terengganu ketika hadir memberi keterangan sekitar jam 11 pagi tadi.
Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Selasa bagi mendapatkan permohonan reman.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Katanya kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
#guru besar ditahan #SPRM #terengganu #tuntutan palsu
;