Guru berusia 40 tahun ke atas disaran jalani saringan kesihatan
Tengku Faeza Mastura
Disember 9, 2016 11:57 MYT
Disember 9, 2016 11:57 MYT
Saringan kesihatan mental dan fizikal bagi guru-guru berusia 40 tahun ke atas sebagai tanda keprihatinan terhadap keadaan kesihatan guru-guru.
Itu merupakan kenyataan Pengerusi Yayasan Guru Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom sewaktu dihubungi secara langsung dalam Buletin Awani pada pagi Jumaat.
Menurut beliau, apabila usia mencecah 40 dan ke atas, kita akan menghadapi masalah-masalah kesihatan yang tidak dapat diketahui melalui luaran jika tidak melalui pemeriksaan teliti di hospital.
Tugas sebagai guru memerlukan tahap kesihatan yang baik dari segi fizikal dan mental. Oleh itu, guru-guru diberikan keutamaan untuk membuat pemeriksaan kesihatan.
“Kita perlukan guru yang sihat kerana terdapat cabaran yang besar, terutama dari segi fizikal yang memerlukan pergerakan yang banyak seperti aktiviti luar sekolah,” jelas beliau lagi.
Saranan ini merupakan satu tanda keprihatinan terhadap guru-guru supaya mereka dapat berkhidmat dengan lebih baik dalam profesion mereka.
“Sudah semestinya (mengambil) peluang untuk beriadah, memberikan panduan dari segi pemakanan dan penjagaan kesihatan kepada guru-guru.
"Dalam menjalankan tugas, mereka kadangkala terlupa bahawa kesihatan itu penting,” jelas beliau lagi apabila ditanya mengenai langkah lain yang boleh diambil agar guru-guru atas 40 tahun dapat menjalankan tugas dengan lebih baik.
Sebelum mengakhiri perbualan, beliau berharap agar guru-guru berada dalam keadaan sihat dan aktif untuk menjalankan tugas harian mereka.