Guru bantu Farah Marcella diberi penghargaan
Madiha Abdullah
April 18, 2017 15:26 MYT
April 18, 2017 15:26 MYT
SURAYA Abdul Rahim, guru yang sebelum ini membantu pelajarnya yang tinggal di pusat snuker, diberi penghargaan dalam satu majlis, semalam.
Kemuliaan hati Suraya mendapat perhatian Jabatan Pendidikan Negeri Johor yang menyerahkan sijil penghargaan kepadanya dalam Majlis Perhimpunan Bulanan yang berlangsung pada Isnin.
Guru SMK Kota Seri Puteri itu mengambil inisiatif sendiri untuk membantu pelajarnya, Farah Marcella, yang menjalani kehidupan serba kekurangan dan terpaksa tinggal di pusat snuker.
Suraya yang menyedari potensi Farah, membawa pelajar itu tinggal bersamanya demi memastikan fokus Farah terhadap pelajaran tidak terganggu.
Hasilnya, Farah berjaya mendapat 6A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Dalam status yang dimuat naik ke akaun Facebook, Suraya berkongsi rasa bersyukur dengan penghargaan yang diberi.
Dalam masa yang sama, kata Suraya, dia tidak pernah mengimpikan untuk diberi penghargaan sedemikian, sebaliknya tindakan yang diambil itu adalah demi masa depan pelajarnya.
"Tiada sekelumit pun perasaan untuk membangga diri, jauh sekali mahu mengejar populariti.
"Sesungguhnya tiada yang lebih bermakna selain melihat kejayaan anak-anak (pelajar) ini," tulisnya.