Guru Bahasa Iban kurang di Sarawak
Syafik Shukri Jalil
Mac 27, 2019 17:07 MYT
Mac 27, 2019 17:07 MYT
SARAWAK mengalami masalah kekurangan guru Bahasa Iban yang tinggi.
Menurut Ahli Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang, sejumlah 2,240 orang guru diperlukan ketika ini kerana kebanyakan guru sedia ada akan bersara dalam tempoh dua tahun akan datang.
Justeru pihaknya menggesa agar Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius isu tersebut dan meningkatkan kuota guru Bahasa Iban di Sarawak.
Selain itu, Jugah turut menyeru guru-guru yang berkhidmat di Sarawak diberi latihan secukupnya dan mengambil inisiatif untuk menjalani latihan dan mempelajari Bahasa Iban di institut-institut perguruan sedia ada.
“Sekiranya perkara ini tidak ditangani dengan segera, dikhuatiri isu ini akan menjadi lebih kritikal di masa akan datang,” katanya.
Selain itu, ia turut mampu menjejaskan kebolehan generasi baharu untuk menguasai Bahasa Iban dengan baik.
Jugah turut mencadangkan agar pihak kementerian mengambil semula guru-guru berpengalaman yang telah bersara untuk mengatasi kekurangan guru-guru Bahasa Iban buat sementara waktu dan tenaga sokongan kepada guru yang sedia ada.
“Mereka adalah tenaga mahir berpengalaman, yang pernah menghadiri kursus, bengkel dan taklimat subjek berkenaan anjuran KPM," jelasnya.
Perkara sama sebelum ini pernah disuarakan Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) Ahmad Malie pada September tahun lalu.
#Ahli Parlimen Lubok Antu
#AWANI Sarawak
#Bahasa Iban
#Kementerian Pendidikan KPM
#Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak KGBS