Guru Al-Quran rebah selepas selesai mengajar

Sinar Harian
Oktober 15, 2019 21:07 MYT
Mangsa disahkan meninggal dunia selepas rebah di Masjid Wadihana, Mergong kelmarin. - Foto ihsan pembaca/Sinar Harian
Seorang guru Al-Quran meninggal dunia sebaik selesai mengajar mengaji di Masjid Wadihana, Mergong di Alor Setar kelmarin.
Allahyarham Abdullah@Abdullah Sirajuddin Ahmad, 74, dari Kampung Teluk Kechai di sini dipercayai rebah di ruang mengajar masjid itu kira-kira jam 11 pagi sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Anaknya, Syeikh Zainul Mukhtar, 45, berkata, bapanya keluar dari rumah mereka kira-kira jam 9 pagi untuk ke masjid bagi mengajar Al-Quran seperti kebiasaannya sejak Mac lepas.
"Bagaimanapun, saya dikejutkan dengan panggilan ibu memaklumkan ayah pengsan sebelum dimaklumkan arwah sudah meninggal dunia apabila saya ke sana.
"Seorang anak murid ayah dikenali sebagai Harun memaklumkan arwah ayah meninggal dunia dengan sangat mudah sebaik sahaja rebah dari tempat duduknya," katanya.
Menurutnya, Allahyarham memiliki penyakit kencing manis dan darah tinggi bagaimanapun tidak pernah mengadu sakit dada atau penat sebelum ini.
Katanya, kematian bapanya yang merupakan bekas penghulu selepas selesai mengajar Al-Quran tidak disangka-sangka menjadi tular di media sosial.
"Arwah ayah merupakan qari Al-Quran negeri Kedah satu ketika dulu malah masih aktif memberi tunjuk ajar berkaitan al-Quran di beberapa masjid sekitar Alor Setar selepas bersara," katanya.
Jenazah Allahyarham selamat disemadikan kira-kira jam 6 petang kelmarin di Tanah Perkuburan Islam Kampung Charuk Kudong, Pendang dekat sini.
#Abdullah Sirajuddin Ahmad #guru Al-Quran #Kampung Charuk Kudong #Kampung Teluk Kechai #kencing manis #Masjid Wadihana #meninggal dunia #Mergong #Syeikh Zainul Mukhtar
;