Gunung Stong bakal diiktiraf sebagai Geopark keenam di Malaysia - Takiyuddin
Vivi Sumanti
Jun 9, 2022 14:57 MYT
Jun 9, 2022 14:57 MYT
KUALA KRAI: Gunung Stong dan kompleks Gua Ikan di Dabong, di sini bakal diiktiraf sebagai Geopark negara kerana nilai khazanah alam semulajadinya yang tidak ternilai serta mampu menjadi tarikan pelancongan dan sejarah.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata usaha ke arah menjadikan Gunung Stong sebagai Geopark sedang dilakukan dengan harapan ianya dapat diiktiraf sebagai Geopark pada tahun ini.
"Hari ini kementerian saya dan Jabatan Mineral dan Geosains, melalui program Aspirasi Stong Geopark (ASG) melakukan usaha untuk mengiktiraf Gunung Stong sebagai salah satu Geopark Malaysia.
"Malaysia mempunyai lima Geopark, masing-masing dua di Perak, satu di Kedah, satu di Sabah dan satu di Labuan dan jika berjaya mendapat pengiktirafan pada tahun ini Stong merupakan Geopark keenam di Malaysia dan yang pertama di Kelantan," katanya selepas lawatan dan program Stong Aspiring Geopark di sini hari ini.
Takiyuddin menjelaskan lawatan kerjanya hari ini sebagai salah satu usaha ke arah mendapatkan pengiktirafan itu.
Kerajaan katanya melalui kementeriannya mempunyai tanggungjawab sosial yang besar untuk memastikan kelestarian alam sekitar dari segi kemampanan dengan memulihara alam sekitar dan semulajadi serta sumber asli sebagai satu khazanah negara.
"Kita perlu memulihara alam sekitar kita dan juga sumber asli kita dari segi hutannya, pokok, batuan gua dan sebagainya dan inilah komitmen kerajaan sebagai tanggungjawab sosial." katanya lagi.
Kerajaan juga komited untuk mencapai karbon sifar di peringkat antarabangsa kerana memulihara alam semulajadi itu penting untuk mengekalkan kestabilan alam dan iklim.
"Perubahan iklim yang berlaku sekarang ini kita tak boleh buat anggaran, musim bencana berlaku luar jangka sebagai contoh di Kelantan, musim monsun banjir dan ribut boleh berlaku bila-bila masa, ini ada kaitan dengan pemuliharaan alam sekitar dan sumber asli kita," tambahnya lagi.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata Gunung Stong merupakan satu kejadian alam kesan geologi berusia jutaan tahun yang membentuk kompleks Gunung Stong manakala Gua Ikan adalah batuan berusia jutaan tahun yang terbentuk secara semulajadi serta merupakan khazanah alam tidak ternilai.
"Khazanah alam itu perlu dipelihara, dan kementerian saya mengambil serius usaha pemuliharaan khazanah alam ini.
"Gunung Stong sekiranya diiktiraf sebagai Geopark ianya bukan sahaja menjadi tumpuan pelancong bahkan bakal menjadi pusat penyelidikan dan kajian sekali gus dapat menjadi pemangkin peningkatan ekonomi penduduk setempat," katanya lagi.