Gunung Sinsing diisytihar puncak ketiga tertinggi di Malaysia
Abdul Hafiz Mustadi
Ogos 25, 2023 10:15 MYT
Ogos 25, 2023 10:15 MYT
KOTA KINABALU: Gunung Sinsing di daerah Tambunan berketinggian 2,586 meter daripada aras laut diisytihar sebagai puncak ketiga tertinggi di Malaysia selepas Gunung Kinabalu di Kundasang (4,095m), dan Gunung Trus di Madi (2,643m) yang turut terletak di daerah yang sama.
Perkara itu dimaklumkan oleh Jabatan Perhutanan Sabah pada Jumaat selepas kerja pengukuran secara rasmi dilakukan terhadap gunung berkenaan yang terletak di Hutan Simpan Nuluhon Trusmadi.
Menurut Ketua Konservator Hutan Jabatan Perhutanan Sabah, Datuk Frederick Kugan berkata, pengesahan ketinggian puncak Gunung Sinsing dijalankan oleh kumpulan penyelidik dari Pusat Penyelidikan Perhutanan, Sepilok dan wakil Persatuan Komuniti Kampung Nupakan, Tambunan menggunakan Stonex S900A Global Navigaton Satellite System (GNSS).
"Sekumpulan penyelidik dari Pusat Penyelidikan Perhutanan, Sepilok dan wakil Persatuan Komuniti Kampung Nupakan, Tambunan terlibat dalam ekspedisi ke Gunung Sinsing untuk mengesahkan ketinggian puncak gunung tersebut dengan menggunakan peralatan penerima data sistem satelit navigasi globalyang lebihtepat iaitu Stonex S900A Global Navigaton Satellite System (GNSS).
"Data ketinggian Gunung Sinsing dicerap melebihi tempoh empat jam pada 10 Mei 2023. Data cerapan yang direkod kemudiannya diproses oleh juruukur berdafar untuk menentusahkan ketnggian sebenar puncak Gunung Sinsing dari min aras laut atau mean sea level (m.s.l).
"Dengan menggunakan kaedah ini, didapati ketinggian puncak Gunung Sinsing adalah 2,586 m.s.l. sekaligus mengekalkan statusnya sebagai puncak ketiga tertnggi di Malaysia dan Borneo", menurut Frederick dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini, hari ini.
Gunung Sinsing sebelum ini menarik perhatian orang awam sejak 2018 apabila ditularkan di media sosial sebagai puncak ketiga tertinggi (2,603m) di Malaysia dan Borneo.
Walau bagaimanapun, ketinggian Gunung Sinsing pada ketika itu diukur dengan menggunakan peralatan Sistem Penentududukan Sejagat (GPS) biasa.
Menurut Frederick lagi, pihaknya akan meneruskan usaha melindungi Gunung Sinsing dan Gunung Trus Madi yang terletak bersebelahan di antara satu sama lain di bawah Unit Pengurusan Hutan (FMU) 10 berkeluasan 88,401 hektar.
"Jabatan Perhutanan akan meneruskan usahanya untuk melindungi kawasan yang berkepentingan sepert Gunung Sinsing.
"Gunung Trus Madi (2,643 m.s.l), puncak kedua tertinggi di Malaysia juga berhampiran dengan Gunung Sinsing, serta diletakkan di bawah pengurusan FMU10 yang berkeluasan 88,401 hektar", beliau menambah.
Hutan montane beraltitud tinggi di mana terletaknya Gunung Sinsing merupakan habitat pelbagai spesies flora dan fauna yang unik dan sebilangannya tidak ditemui di tempat lain.
Melalui inisiatif Heart of Borneo (HoB) di bawah kelolaan Jabatan Perhutanan Sabah, satu ekspedisi saintifik turut dianjurkan pada 14 sehingga 20 Mei pada tahun ini bagi mengkaji kepelbagaian flora, fauna dan sosioekonomi komuniti setempat yang tinggal berhampiran hutan simpan.