Gunung Baling terbakar: Angin kuat sukarkan usaha pemadaman
Adie Sufian Zulkefli
Februari 7, 2019 20:44 MYT
Februari 7, 2019 20:44 MYT
Akibat cuaca panas terik sejak lebih sebulan lalu mengakibatkan kawasan Gunung Baling di Kedah mengalami kebakaran hutan.
Menurut Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling Mohd Jamil Mat Daud, Operasi memadamkan kebakaran yang melibatkan kawasan seluas 2.4 hektar berdepan kesukaran berikutan keadaan cuaca panas dan angin kencang.
Katanya, setakat ini bomba hanya dapat memadam kebakaran di kira-kira 20 peratus daripada kawasan terjejas.
“Bomba menerima panggilan kejadian pada jam 5.28 petang semalam (Rabu).
"Kemudiannya seramai 14 pegawai bersama anggota ke lokasi yang terletak di paras ketinggian 260 meter dari aras laut itu.
"Pihaknya mengalami kesukaran memadam dan kerja pemadaman hanya bermula hari ini selepas angin kuat dengan kelajuan 20 kilometer sejam," ujarnya.
Menurutnya, operasi turut menggunakan helikopter disamping dibantu 50 anggota daripada pelbagai agensi termasuk malim gunung.
Sehingga jam 6 petang tadi api masih lagi merebak ke kawasan sebelah selatan gunung.
Punca kebakaran dipercayai daripada aktiviti pendakian, iaitu ada antara pendaki yang memasak di atas gunung.