Gunting rambut: KKM pantau peningkatan kes mendadak

Hasimi Muhamad
Jun 6, 2020 18:47 MYT
Antara kriteria untuk membenarkan lebih banyak sektor beroperasi di negara ini dibuat susulan tiada pertambahan kes mendadak selepas hari raya. - Gambar fail
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan akan terus memantau peningkatan kes susulan pembukaan pelbagai sektor ekonomi termasuk kedai gunting rambut yang dijangka beroperasi pada 10 Jun ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, antara kriteria untuk membenarkan lebih banyak sektor beroperasi di negara ini dibuat susulan tiada pertambahan kes mendadak selepas hari raya.
"Jadi kalau kita dapat kawal selepas hari raya, dah sampai untuk kita membuka sektor yang lain, contohnya kedai gunting rambut dan sebagainya.
"SOP (prosedur operasi standard) sudah lama disediakan, jadi sekarang ini kita memantau dengan SOP dan juga memantau pelaksanaan dari segi pematuhan kepada SOP tersebut," katanya dalam sidang media harian, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham menambah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) akan digunakan sebagai pemantauan dan pengawasan kes COVID-19 apabila lebih banyak sektor dibenarkan beroperasi nanti.
Ujarnya, Akta 342 turut diturunkan kuasa kepada pelbagai agensi dan pihak berkuasa termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Sekiranya ada wabak ataupun peningkatan kes di sesuatu lokaliti atau kumpulan sasaran, kita akan laksanakan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau PKP secara pentadbiran (Semco).
"Jadi, tindakan kita (adalah) akan pagar kawasan tersebut kerana kita akan saring dan uji semua penduduk di kawasan tersebut sama ada warga asing atau warga negara," katanya.
#Angkatan Tentera Malaysia #Dr Noor Hisham Abdullah #hari raya #kesihatan #Malaysia #Media #PDRM #perintah kawalan pergerakan #PKP #PKPD #warga asing
;