Gunting rambut di kedai, rumah masih dilarang - Ismail Sabri
Ridauddin Daud
Jun 1, 2020 14:34 MYT
Jun 1, 2020 14:34 MYT
Kerajaan masih belum membenarkan kedai gunting rambut untuk beroperasi meskipun kes jangkitan COVID-19 melibatkan rakyat tempatan semakin berkurang.
Dalam masa sama, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menyiapkan prosedur operasi standard (SOP) berhubung keluhan orang ramai dan pengusaha kedai gunting rambut.
“Untuk kedai gunting, memang tidak dibenarkan sama sekali untuk gunting rambut. SOP sedang disediakan, saya percaya MKN sedang sediakan SOP bersama KKM.
“Setakat ini belum dibentangkan, kita menunggu dari MKN untuk bentangkan SOP jika sudah siap tapi setakat ini belum lagi. Selepas itu baru kita putuskan untuk benarkan buka atau tidak dan bila tarikh pun bergantung kepada SOP yang dibentangkan.
“Gunting rambut setakat ini masih dalam senarai terlarang di mana saja, termasuk di rumah,” katanya pada sidang media harian di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan wartawan berhubung operasi kedai gunting rambut dan tindakan sesetengah pihak mengupah tukang gunting rambut ke rumah untuk menyediakan perkhidmatan itu.
#gunting
#gunting rambut
#ismail sabri yaakob
#Kementerian Kesihatan
#kerajaan
#keselamatan
#KKM
#Media
#menteri
#operasi
#Putrajaya
#rakyat
#rambut
#rumah
#SOP