Gunakan konsep Hilf al-Fudul untuk selesaikan isu kemanusiaan global - Mohd Na’im

Bernama
Mei 14, 2024 08:00 MYT
Mohd Naím berucap pada Sidang Kemuncak Perundingan Muslim Sedunia di Istanbul, Turki pada Isnin. - Foto Facebook/Dato' Setia Dr. Naim
KUALA LUMPUR: Konsep pakatan Hilf al-Fudul, yang mewujudkan keperluan untuk memastikan keadilan untuk semua melalui tindakan kolektif, harus diguna pakai sebagai asas untuk menangani isu kemanusiaan global, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar.
Berucap pada Sidang Kemuncak Perundingan Muslim Sedunia di Istanbul, Turki pada Isnin, Mohd Na'im berkata, pakatan yang ditubuhkan pada zaman Nabi Muhammad untuk membela yang lemah dan tidak bersalah terhadap mereka yang lebih berkuasa, masih relevan hari ini, terutamanya dalam mempertahankan rakyat Gaza yang ditindas.
"Pada ketika kita bersatu di persidangan ini, marilah kita menyalurkan tenaga kolektif kita ke arah memupuk dunia, di mana keadilan bukan sahaja ideal tetapi realiti untuk setiap manusia yang ditindas dan bersengketa.
"Mari kita ingat bahawa kekuatan kita bukan hanya terletak pada kepercayaan kita yang sama, tetapi pada kemanusiaan juga," katanya dipetik dalam video ucapannya yang dimuat naik di laman Facebooknya hari ini.
Bagi merealisasikan adaptasi Hilf al-Fudul dalam dunia moden, Mohd Na'im mencadangkan pembentukan dana bantuan kemanusiaan sejagat, yang boleh diakses oleh semua rantau yang dilanda konflik, rangka kerja penyelesaian konflik global yang inklusif yang memanfaatkan prinsip keadilan dan perantaraan dalam Islam, serta sistem pendidikan dan advokasi antarabangsa untuk memupuk budaya kerjasama dalam keamanan.
"Kita juga mesti membentuk gabungan global, yang bukan sahaja memahami tetapi menjunjung prinsip Hilf al-Fudul. Melibatkan negara dari seluruh dunia bagi memastikan penyertaan dan sokongan menyeluruh," katanya.
- BERNAMA
#Hilf al-Fudul #konsep pakatan #Perundingan Muslim Sedunia #Mohd Na'im Mokhtar
;