Guna WeChat dan MiChat tawar khidmat pelacuran, dua wanita ditahan

Ruzaini Zulkepli
Mac 20, 2021 10:46 MYT
Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua mereka disyaki menjalankan kegiatan pelacuran melalui aplikasi atas talian. - Astro AWANI
KOTA KINABALU: Dua wanita ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah hotel di Jalan Sulaman, di sini semalam disyaki mencari pelanggan dan menawarkan khidmat seks menerusi aplikasi WeChat dan MiChat.
Kedua-dua suspek berusia 22 dan 28 tahun itu ditahan dalam operasi Ops Noda yang dijalankan sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah, Cawangan Pencegahan Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, jam 2.30 petang.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua mereka disyaki menjalankan kegiatan pelacuran melalui aplikasi atas talian.
"Ketika ditahan, polis turut merampas tiga telefon pintar yang dipercayai digunakan untuk mencari pelanggan.
"Selain itu, polis turut menemui dua keping kondom belum guna bersama satu keping kondom yang sudah digunakan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Hazani berkata, hasil pemeriksaan lanjut, polis turut merampas satu kad bilik hotel dan sejumlah wang tunai.
Katanya, kedua-dua tangkapan dan rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan," katanya.
#pelacur #wanita #ditahan #khidmat seks #WeChat #MiChat #polis #Maksiat
;