Guna wang pengaruh tukar agama, dakwaan Abdul Hadi disangkal
Astro Awani
Januari 23, 2016 14:10 MYT
Januari 23, 2016 14:10 MYT
Majlis Gereja-gereja Sabah menyangkal kenyataan presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyatakan mubaligh Kristian menggunakan wang dan bantuan sampingan lain untuk mempengaruhi orang Islam untuk menukar agama.
Presiden Majlis Gereja-gereja Sabah, Rev. Datuk Jerry WA Dusing dalam satu kenyataan kepada media memberitahu, pihaknya kecewa dengan dakwaan tersebut dan menyifatkan ia sebagai gambaran kejahilan Abdul Hadi terhadap agama Kristian dan penganutnya.
Katanya, mubaligh Kristian di Sabah dan Sarawak melakukan pelbagai kerja-kerja kebajikan demi menyumbang kepada pembangunan bangsa.
"Setiap pekerjaan yang dilakukan adalah telus dan difokuskan kepada tiga lapangan utama, iaitu gereja, hospital dan sekolah. Ketiga-tiganya telah terbukti berjaya tanpa sebarang laporan sogokan demi mempengaruhi penganut agama lain untuk menukar agama," katanya.
Katanya, di Sarawak, usaha mubaligh menjadi perintis kepada penerokaan kawasan-kawasan terpencil, yang telah berjaya membawa kesedaran penjagaan kesihatan dan pendidikan dan ia sedikit sebanyak menyumbang kepada kelangsungan hidup masyarakat di kawasan terbabit.
Kata Dusing, salah satu ciri utama dalam agama Kristian adalah kebebasan, dan mereka percaya pemilihan agama adalah bergantung kepada individu itu sendiri. Menipu dan mendesak menggunakan sogokan adalah satu dosa mengikut kepercayaan mereka.
Ini kerana perkara sedemikian, menurut Dusing, adalah melanggar prinsip agama Kristian.
Tambah Dusing lagi, objektif kenyataan tersebut dengan jelas adalah untuk menyalakan sektarianisme agama, selain mewujudkan perselisihan dan kebencian di kalangan rakyat di negara ini.
Dusing juga meluahkan harapannya agar rakyat Malaysia terus berusaha untuk membina satu bangsa yang aman dan bertoleransi serta mengelakkan daripada perasaan syak wasangka antara satu sama lain.
Dalam laporan Harakah Daily pada 18 Jan lalu, Abdul Hadi berkata bahawa mubaligh Kristian, terutama di Sabah dan Sarawak, berdakwah dengan menggunakan wang dan menawarkan pelbagai bantuan, sekaligus memudahkan penganut agama lain terpengaruh untuk menukar agama mereka.