Guna tukul besi, RM20,000 barang kemas lesap tidak sampai seminit

Abd Razak Mohd Ali
Disember 21, 2019 22:27 MYT
Keadaan kaunter jualan barang kemas yang pecah dalam kejadian rompakan di Jalan Besar, Pekan Beruas pada Sabtu. - PDRM
Dua lelaki bersenjatakan tukul besi mengambil masa tidak sampai seminit untuk melarikan barang kemas bernilai RM20,000 dalam kejadian samun sebuah kedai emas di Jalan Besar, Pekan Beruas di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, kedua-dua suspek yang bertopeng bertindak memecahkan cermin pameran sebelum melarikan sejumlah barang kemas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, ketika kejadian, di dalam kedai emas hanya terdapat seorang lelaki berusia 60 tahun yang juga pemilik dan ibunya.
Menurutnya, ketika lelaki itu berada di kaunter, dua suspek yang memakai sarung muka, cermin mata serta sarung tangan menerpa masuk dan memecahkan kaca ruang pameran barang kemas dengan tukul.
"Suspek pertama yang berbadan gempal dan tinggi telah memasukkan tangannya ke dalam cermin kaca dan menarik beberapa utas gelang tangan emas sebelum melarikan diri.
"Seorang lagi rakannya turut bertindak serupa tetapi mangsa cuba menarik tangannya sebelum melarikan diri," katanya.
Anuar berkata, pemeriksaan mendapati terdapat 10 kamera litar tertutup (CCTV) di dalam premis berkenaan namun kesemuanya rosak dan sedang dalam proses untuk dibaiki.
“Kami sedang mengesan CCTV di kawasan berhampiran selain mendapatkan maklumat daripada saksi awam.
"Pihak Forensik D10 IPK Perak telah membuat siasatan di tempat kejadian namun tiada sebarang cap jari dapat ditimbulkan selain tiada sebarang kesan darah pada cermin kaca kaunter," ujarnya.
#barang kemas #CCTV #jenayah #PDRM #pekan beruas #perompak #polis #rompak kedai emas
;