Guna teknologi cipta inovasi, elak salah guna telefon bimbit
Bernama
Mac 23, 2018 12:47 MYT
Mac 23, 2018 12:47 MYT
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menasihati rakyat agar menggunakan kemudahan teknologi untuk mencipta inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.
Ini katanya bukan sahaja dapat membantu usaha kerajaan merakyatkan inovasi tetapi juga mencegah rakyat daripada menyalahgunakan kemudahan teknologi seperti telefon bimbit dan Internet terutamanya untuk menularkan maklumat tidak benar.
"Menularkan laporan yang belum disahkan faktanya khususnya di media sosial, berupaya memberi impak negatif kepada pembangunan dan ekonomi negara.
"Berita palsu yang disebarkan hanya untuk menarik perhatian orang ramai tanpa memikirkan implikasinya yang boleh menggugat kesejahteraan dan keharmonian rakyat," katanya ketika merasmikan Konvensyen Inovasi Inklusif di sini hari ini.
Katanya bagi menangani golongan sedemikian, kerajaan antara lain mewujudkan undang-undang antiberita tidak benar yang dijangka dibentangkan di Parlimen minggu depan.
-- BERNAMA
#antiberita tidak benar
#inovasi
#media sosial
#Menteri Sains Teknologi dan Inovasi
#Sains
#Telefon bimbit
#Wilfred Madius Tangau