Guna semula bangunan pawagam lama, bangkit suasana klasik

Aida Aziz
April 29, 2024 11:15 MYT
Antara pawagam yang bertapak di Ipoh. - Foto ihsan Nor Hisham Zulkiflee
IPOH: Nostalgia bangunan panggung wayang gambar atau pawagam lama sentiasa melekat dalam sanubari bagi sesiapa saja yang berkesempatan merasai pengalaman menonton filem di dalamnya.
Ini kerana, pawagam kini sudah berubah mengikut peredaran zaman dan banyak didapati di pusat membeli belah, di samping menggunakan sistem canggih.
Malah, di kebanyakan pawagam sudah menggunakan sistem layan diri untuk jual beli tiket, termasuk memilih tempat duduk di skrin sentuh yang disediakan.
Bercakap mengenai pawagam lama di Perak, khususnya di Ipoh, sebenarnya sudah banyak pihak yang mula mengambil langkah mengubah suai dan memberi nafas baharu dengan mengguna semula bangunan itu.
Mengimbas tentang sejarah itu di Ipoh, Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee memberitahu ada beberapa pawagam lama yang masih utuh dan pernah berada pada zaman kegemilangannya.
"Ipoh dahulu dikenali sebagai bandar jutawan, ia juga menjadi pusat hiburan bagi Lembah Kinta yang banyak aktiviti perlombongan, ketika itu muncul pawagam.
"Ada lebih kurang tujuh pawagam di sini, iaitu Rex, Lido, Cathay, Odeon, Ruby, Sun dan Majestic, lima daripadanya ada di Pekan Baru.
"Yang pertama di Ipoh sebenarnya diperkenal tahun 1909 iaitu pawagam Yat Tet Shin di Pekan Baru, ia merupakan wayang bisu (tiada suara).
"Boleh kata pawagam ketika itu disediakan oleh tauke lombong dan syarikat swasta," katanya kepada Astro AWANI.
Tambahnya, wayang yang disertakan bunyi bermula 25 November 1929 di Pawagam Sun, lokasinya di Jalan Sultan Idris.
Setelah itu, kemuncak kegemilangan pawagam di bandar raya itu bermula 1930 hingga 1960-an apabila arkitek Danish, B.M. Iversen mula mereka bangunan mewah dengan seni bina moden.
"Pawagam Ruby dibuka 1938 di Jalan Raja Musa Aziz dan dirasmikan oleh Residen G.E. Cator pada 4 Oktober tahun sama, ia ditutup pada 1990 dan kini menjadi restoran.
"Oden dibina 1938 di Jalan Sultan Idris, Rex di Jalan Raja Muda Musa Aziz dan Majestic sekitar 1940-an di Jalan C.M Yusuf, ia tutup pada 1998 dan pernah jadi kedai perabot sebelum dirobohkan untuk bina pangsapuri.
"Lido dan Cathay (kini dijadikan restoran) dibina 1957 dan cukup popular pada 1960-an," katanya.
Justeru katanya, saranan Exco Perak sebelum ini yang mengalakkan guna semula bangunan lama untuk dijadikan hotel, boleh diperluas kepada pawagam tersebut.
Ia bukan sahaja mampu menarik ramai pelancong ke sini tetapi juga mampu memulihara bangunan warisan yang masih elok dan ditatap oleh generasi kini.
Ternyata, sudah ada beberapa pihak di Ipoh yang cenderung mengambil alih dan mengubah suai secara minimum bangunan itu menjadi restoran, kafe, kedai perabot dan sebagainya.
"Suasana di dalam bangunan itu menggamit memori, ditambah seni bina yang unik, ia juga boleh jadi ikon pelancongan.
"Bukan hanya di Ipoh tetapi di Perak masih banyak mengekalkan pawagam lama, diharapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pelancongan boleh jadikan ia satu lagi produk.
"Mungkin boleh buat jejak pawagam lama dan papan tanda penceritaan kepada pelancong," katanya.
#pawagam lama #pusat hiburan #pelancong #guna semula
;