Guna semua kepakaran selesaikan isu air Selangor - Rizam

Astro Awani
Disember 23, 2019 15:00 MYT
RIZAM: Sudah masuk tiga hari bekalan terputus, pencemaran bau masih tidak dapat dikurangkan malah lebih teruk. - Gambar fail
Kerajaan diminta menggunakan semua kemudahan dan kepakaran yang dimiliki Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) untuk mempercepatkan pembersihan di kawasan yang mengalami masalah air di negeri itu.
Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail menegaskan, usaha itu sekali gus memastikan pencemaran air tidak tercemar dan mampu disalurkan kembali kepada pengguna dalam kadar segera.
"Saya ambil prihatin kepada seluruh 336,930 akaun pengguna yang masalah mengalami masalah air.
"Perkara ini bukan sekali dua yang terpaksa rakyat hadapi dalam setiap tahun. Malah rakyat sudah jemu dengan masalah ini yang kerap kali berlaku.
"Sudah masuk tiga hari bekalan terputus, pencemaran bau masih tidak dapat dikurangkan malah lebih teruk," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.
BACA: Tiada air hingga pencemaran bau capai 0 ton - Air Selangor
BACA: Jumlah gangguan air masih terkawal - MB Selangor
Terdahulu, Air Selangor memaklumkan akan menambah enam lagi lokasi pili awam mulai malam Ahad dan awal pagi Isnin bagi menyalurkan bekalan air kecemasan ke kawasan terjejas susulan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi.
Jelas kenyataan itu, penambahan lokasi berkenaan menjadikannya berjumlah 14 lokasi yang akan dimaklumkan menerusi media apabila siap.
Dalam pada itu kata Rizam, terkini beliau mendapat maklumat kadar pencemaran masih berada di tahap satu ton malah adakalanya naik ke dua ton yang mana ianya masih tidak baik dan air masih berbau.
Hal itu tegaanya, menyebabkan loji rawatan air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas.
"Adakah ini balasan kepada rakyat selepas kuasa rakyat memberi Pakatan Harapan (PH) untuk memegang tampuk kuasa baik di Selangor dan Persekutuan?
"Kita sudah hendak masuk ke zaman kereta terbang tahun hadapan, tahun 2020 yang di nanti nantikan oleh rakyat Malaysia, kenapa pihak kerajaan negeri tidak memberi keutamaan kepada isu air ini?
"Inilah hasrat utama rakyat selangor terutamanya di kawasan yang selalu mengalami masalah bekalan air terputus supaya penambahbaikan dan infrastruktur ditambah lebih baik lagi berbanding sebelum ini," jelasnya.
Air Selangor turut memaklumkan pada masa ini pihaknya belum dapat menjangkakan bila loji boleh beroperasi semula kerana ia bergantung kepada tahap pencemaran dan sasaran pemulihan hanya akan dapat dianggarkan setelah loji kembali beroperasi.
Pengguna dinasihat merujuk aplikasi telefon bimbit 'Air Selangor' atau laman sesawang www.airselangor.com.my, Facebook 'Air Selangor ' dan Twitter @airselangor bagi mengetahui perkembangan berkaitan perkara itu.
#Facebook #Malaysia #Pakatan Harapan #pembangkang #Semenyih #Twitter
;