Guna saluran rasmi untuk dapatkan visa Australia

Bernama
November 17, 2016 08:12 MYT
Suruhanjaya Tinggi Australia merayu kepada rakyat Malaysia supaya memahami apa yang mereka boleh lakukan di negara itu dengan visa atau Autoriti Pengembaraan Elektronik mereka. - EPA/Fail
Rakyat Malaysia dinasihatkan supaya berurusan hanya menerusi saluran bereputasi dan rasmi bila memohon visa Australia bagi mengelak menjadi mangsa penipuan dan visa palsu.
Suruhanjaya Tinggi Australia dalam satu kenyataan pada Rabu merayu kepada rakyat Malaysia supaya memahami apa yang mereka boleh lakukan di negara itu dengan visa atau Autoriti Pengembaraan Elektronik mereka.
"Baru-baru ini, beberapa penipuan visa berlaku di Malaysia. Penipuan ini dilakukan menerusi agen yang menawarkan visa dan penerbangan ke Austaralia untuk rakyat bekerja secara haram.
"Penipuan ini merupakan perlakuan untuk mendorong rakyat melanggar undang-undang Australia, bagi mendapatkan wang atau faedah peribadi lain," kata kenyataan itu, yang menegaskan bahawa Kerajaan memandang berat ramai warga Malaysia dipergunakan oleh kumpulan penipuan ini.
ETA, menurut kenyataan itu, tidak menyediakan hak untuk bekerja di Australia dan adalah salah bagi pemegang ETA bekerja di negara itu.
"Jika mereka bekerja di Australia dengan melanggar syarat visa mereka, mereka boleh ditahan dan diusir dari negara itu dan tidak dibenarkan masuk selama tiga tahun.
Menurut kenyataan itu, Kerajaan Australia mengambil tindakan tegas untuk menghapus rangkaian penjenayah tersusun dan majikan yang rakus dan agen yang berusaha mengaut keuntungan dengan mengeksploitasi pekerja migran yang lemah.
Tindakan ini termasuk penubuhan Pasukan Petugas Cadena pada tahun lepas dan Pasukan Petugas Pekerja Migran tahun ini.
Pasukan Petugas Pekerja Migran ditubuhkan untuk menyediakan nasihat pakar mengenai langkah-langkah yang dapat memberikan perlindungan lebih baik untuk pekerja-pekerja seberang laut termasuk menaikkan denda kepada majikan yang membayar gaji rendah kepada pekerja migran dan yang gagal menyimpan rekod pekerja dengan sempurna.
Rakyat Malaysia juga digesa memberitahu Suruhanjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur jika mereka mengetahui dan mengsyaki sesuatu penipuan berkaitan visa Australia, dengan mengirim emel kepada visakl@dfat.gov.au. -- Bernama
#Visa palsu Australia
;