Guna saluran betul untuk luahkan pandangan - Perdana Menteri

Bernama
Julai 28, 2016 08:34 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) bergambar bersama sebahagian daripada wakil penuntut institut pengajian tinggi awam dan swasta dari seluruh negara yang mengikuti Persidangan Parlimen Mahasiswa 2016. - Gambar Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa rakyat supaya tidak mengambil tindakan di luar batasan undang-undang dan sebaliknya menggunakan saluran yang betul untuk meluahkan sebarang pandangan berbeza.
Katanya, sebagai negara yang mengamalkan demokrasi berasaskan perlembagaan, tindakan seperti penganjuran demonstrasi jalanan adalah langlah yang salah.
"Kalau kita berdemonstrasi...tiba-tiba ada gangguan oleh pengganas Daish, nanti apa akan jadi? Anarchy (huru-hara akan berlaku)," katanya. Najib berucap pada jamuan malam sempena Persidangan Parlimen Mahasiswa 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini malam tadi.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh, Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Tan Sri Abdul Aziz Rahman dan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Tan Sri Dr Rais Yatim.
Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan pihak yang tidak bersetuju terhadap sesuatu perkara yang dibawa kerajaan tidak harus memainkan politik "menabur kebencian" dan sebaliknya perlu menawarkan alternatif yang konstruktif kepada kerajaan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan seterusnya menarik perhatian bahawa kerajaan telah banyak membantu rakyat termasuk dalam soal menghadapi kos sara hidup, pendidikan, kesihatan dan ibadat haji.
Datuk Seri Najib Tun Razak turut berkata kerajaan yang memerintah sekarang ialah sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan sentiasa prihatin kepada keperluan rakyat dan pengukuhan ekonomi negara untuk jangka panjang.
#Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa rakyat supaya tidak mengambil tindakan di luar batasan undang-undang dan sebaliknya menggunakan saluran yang betul untuk meluahkan sebarang pandangan berbeza
;