Guna platform media sosial bincang isu ancaman internet - Ismalina
Astro Awani
Februari 9, 2021 08:57 MYT
Februari 9, 2021 08:57 MYT
KUALA LUMPUR: Ibu bapa perlu menggunakan platform media sosial termasuk kumpulan WhatsApp dan Facebook untuk mendapatkan maklumat ancaman internet selain isu lain membabitkan pembelajaran dalam talian anak-anak semasa musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Yang DiPertua Mimbar Pemuafakatan Ibu Bapa (MIMBAR), Datin Seri Ismalina Ismail menjelaskan selain itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga harus memastikan peranan mereka dalam menyediakan bahan publisiti sesuai kepada umum.
"Penting untuk ibu bapa melihat keadaan emosi anak-anak sebab penglibatan anak-anak dalam perkara ini kerana gangguan emosi dan tekanan yang dihadapi oleh mereka.
"Pada saya adalah amat penting untuk ibu bapa mengambil peluang ini untuk merapatkan diri dengan anak-anak dan melihat kepada kesihatan anak-anak bukan dari segi fizikal tapi dari segi emosi, sahsiah dan sebagainya kerana itu akan membantu.
"Di sini pengorbanan ibu bapa itu perlu kerana kita kena buat kerja tambahan, semasa mendidik anak-anak, ibu bapa juga harus buat kerja rumah untuk pastikan sejauh mana keibubapaan kita berkesan, sejauh mana kita sudah tinggalkan, sejauh mana kita sudah melepaskan kepada alam siber untuk mendidik anak kita," katanya semasa sidang Skype pada Selasa.
Dalam pada itu kata Ismalina, Hari Keselamatan Internet seharusnya menjadi platform ibu bapa melihat peranan membimbing anak-anak yang terdedah kepada dunia siber.
Ujarnya, penerokaan siber anak-anak adalah sesuatu yang harus dibimbangkan dan sentiasa dipantau.
Paling penting jelasnya, ibu bapa perlu sentiasa memeriksa laman web yang dilayari anak mereka selain menjadi contoh baik dalam isu berkenaan.
#PKP
#mimbar
#Hari Keselamatan Internet
#Ismalina Ismail
#ibu bapa
#anak
#pembelajaran dalam talian
#PdPR