Guna platform kementerian buat hebahan tentang Zalina - Rina Harun

Bernama
Julai 21, 2022 19:45 MYT
Platform media sosial Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan digunakan bagi membantu membuat hebahan mengenai kehilangan bekas pembaca berita Zalina Azman.
SHAH ALAM: Platform media sosial Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan digunakan bagi membantu membuat hebahan mengenai kehilangan bekas pembaca berita sebuah stesen televisyen, Zalina Shaharah Azman atau lebih dikenali sebagai Zalina Azman.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, pihaknya akan bersama-sama membantu menguar-uarkan perkara tersebut melalui semua platform media sosial kementerian.
Rina berkata, pihaknya turut bersimpati dengan kehilangan personaliti televisyen itu sejak November tahun lepas.
"Kita mengenali beliau sebagai pembaca berita sebelum ini, siapa yang tidak kenal. Saya simpati dan berdoa agar beliau dapat ditemui dalam keadaan selamat.
"Saya lihat banyak juga badan bukan kerajaan (NGO), Datuk Ras Adiba Radzi pun turut sama membantu untuk mencari beliau," katanya kepada media selepas Persidangan Meja Bulat Wanita Bangkit 2022 di sini hari ini.
Beliau turut berharap keluarga bekas pembaca berita itu tidak berputus asa dan terus tabah serta cekal mencari beliau.
"Saya harap, sebagai masyarakat Malaysia selepas berita ini disiarkan bila jalan lihatlah kiri dan kanan," katanya.
Semalam, Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim dilapor berkata Zalina Shaharah, 58, dipercayai masih berada dalam negara susulan tiada pergerakan keluar membabitkan wanita itu yang dikesan pihak berkuasa setakat ini.
Isnin lepas, Mohd Iqbal dalam satu kenyataan berkata pihaknya menerima laporan daripada anak lelaki Zalina Shaharah, Mikhael Norman, 33, berkenaan kehilangan ibunya pada 29 Nov tahun lepas. - BERNAMA
#Zalina Azman #Rina Harun #media sosial #Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat
;