Guna pinjaman domestik, elak guna dana KWAN - Guan Eng

Hasimi Muhamad
April 25, 2021 12:46 MYT
Lim berkata, sekiranya peruntukan sebanyak RM17 bilion untuk melawan COVID-19 tidak mencukupi, Ahli Parlimen DAP bersedia memberi sokongan untuk tambahan dana. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: DAP hari ini mempertikaikan tindakan kerajaan membenarkan pengeluaran dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN).
Menurut Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng, Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan pertama yang menggunakan dana tersebut sejak ia ditubuhkan pada 1988 sebagai tabung masa depan negara.
Katanya, sekiranya kerajaan tidak mempunyai wang, pinjaman boleh dilakukan dalam pasaran hutang domestik yang memiliki dana sejumlah RM1.3 trilion.
"Mengapa tak pinjam? Mengapa kena guna dana KWAN? Kerajaan, kalau pinjam, kena telus, kena lapor kepada peminjam-peminjam.
"Tetapi, kalau guna dana KWAN, dia hanya guna, tak payah bagi penjelasan kepada sesiapa.
"Ini satu tindakan yang amat bahaya. Kerana, kalau KWAN tiada, lagi masalah untuk masa depan," kata Lim dalam ucapan perasmian Konvensyen Biasa Negeri DAP Wilayah Persekutuan 2021 di sini, hari ini.
BACA: Guna KWAN: Kluster merungut tidak konsisten
BACA: Kerajaan tidak patut guna dana KWAN untuk perolehan vaksin, PICK - Pakar ekonomi
BACA: Kerajaan pinda akta benarkan dana KWAN untuk perolehan vaksin
Selain itu, Ahli Parlimen Bagan itu berkata, sekiranya peruntukan sebanyak RM17 bilion untuk melawan COVID-19 tidak mencukupi, Ahli Parlimen DAP bersedia memberi sokongan untuk tambahan dana.
Namun, tegas Lim yang juga bekas menteri kewangan, ia perlu dilakukan di Parlimen.
Pada 21 April lepas, kerajaan meluluskan undang-undang untuk menggunakan dana KWAN untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan program imunisasi kebangsaan.
Ia dilakukan melalui pewartaan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021.
Dalam ucapan sama, Lim turut mempertikaikan dapatan kajian Merdeka Centre mengenai populariti Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu pada tahap sokongan 67 peratus.
Beliau turut menyentuh mengenai peratusan responden yang mengatakan negara berada dalam hala tuju yang betul, yang menunjukkan penurunan tiga peratus dalam kajian kali ini, berbanding sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"Masih ingat, semasa Mei 2018 sebelum PRU14, satu kajian Merdeka Centre mendapati 44 peratus daripada kesemua responden (menyatakan) kerajaan menuju hala tuju yang betul.
"Sekarang, 41 peratus cakap negara menuju hala tuju yang betul," katanya.
#Lim Guan Eng #DAP #KWAN #COVID-19 #undang-undang #kerajaan #Amanah #Parlimen #hutang #pinjaman #dana #peruntukan #tambahan dana
;