Guna pendakap khas tempah di Jerman untuk baiki paip dasar laut - Sanusi
Bernama
Jun 5, 2024 22:27 MYT
Jun 5, 2024 22:27 MYT
ALOR SETAR: Kebocoran paip dasar laut yang membawa bekalan air dari tanah besar ke Langkawi perlu menggunakan pendakap khas ditempah dari Jerman bagi memastikan ia mempunyai ketahanan yang kuat.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata proses audit yang dilakukan oleh pakar mendapati terdapat 23 kebocoran pada paip dasar laut sepanjang 36 kilometer yang telah menyebabkan pembaziran bekalan air terawat.
"Kita nak guna kaedah pendakap, sebelum inipun sama... Tapi reka bentuk pendakap yang kita cadang kali ini lebih panjang, kena tempah di Jerman dan ini adalah cadangan pakar paip dasar laut sebab ganti lebih mahal.
"Sekarang ini (guna) pendakap juga (untuk baiki kebocoran) tapi bila ada arus (deras), bot lalu di atas, paip bergegar dan pendakap itu boleh 'lari' dari kedudukannya, jadi pendakap kena besar supaya tidak beralih kedudukannya," kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini hari ini.
Sebelum ini media melaporkan kekerapan kebocoran paip dasar laut yang menyalurkan bekalan air dari tanah besar ke Langkawi menyebabkan pembaziran hampir 45 peratus bekalan air terawat setiap hari.
Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) berkata perkara itu menyebabkan ia terpaksa mengeluarkan kos pembaikan yang tinggi setiap kali kebocoran berlaku.
-- BERNAMA