Guna pencuci lantai ganti 'sanitiser', menteri arah polis tangkap

Astro Awani
November 5, 2020 18:52 MYT
Guna pencuci lantai? Itu hanya akan menimbulkan masalah lain pada penggunanya. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana premis yang menggunakan cecair pencuci lantai atau bahan-bahan lain sebagai ganti kepada cecair pembasmi kuman (sanitiser).
Beliau berkata perbuatan dilakukan premis terbabit bukan saja suatu penipuan tetapi juga akan membahayakan kesihatan pengguna.
"Kita tidak boleh berkompromi dengan perkara ini kerana macam-macam kesan buruk akan berlaku sekiranya menggunakan cecair pencuci lantai.
"Jadi saya meminta polis mencari dan menangkap mereka yang berbuat sedemikian," katanya pada sidang media di sini, pada Khamis.
Baru-baru ini, seorang peniaga di Jempol, Negeri Sembilan menggunakan pencuci lantai sebagai cecair pembasmi kuman kepada pelanggannya untuk berjimat.
Bagaimanapun, tindakan peniaga itu dihidu polis yang menjalankan operasi pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan( PKPP ) bersama agensi lain sekitar daerah ini.
Berikutan tindakannya itu, peniaga berkenaan dikenakan kompaun RM1,000.
#cecair pembasmi kuman #PKPP #Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan #perintah kawalan pergerakan #Polis Diraja Malaysia #ismail sabri yaakob #kompaun
;